WELCOME TO MY BLOG
My photo
Dulu saya selekeh, tapi sekarang dah handsome sikit =D

Wednesday, December 5, 2012

RASULULLAH DI AMBANG SAKARATUL MAUT

Ketika subuh hari isnin 12 Rabiulawal tahun ke-11 hijrah, apabila para sahabat dan umat Islam hendak masuk ke masjid untuk menunaikan solat Subuh, Rasulullah menyuruh Aisyah menjirus air ke badannya kerana ketika itu Baginda merasa dirinya dalam keadaan demam. Apabila Baginda merasa dirinnya tidak mampu lagi untuk keluar solat, maka Baginda berkata kepada Aisyah, '' Suruhlah Abu Bakar keluar solat bersama umat Islam.'' Kemudian Aisyah berkata kepada Rasulullah, ''Sesungguhnya Abu Bakar seorang lelaki yang lembut hatinya, apabila berdiri di tempatmu Ya Rasulullah, maka orang tidak akan mendengar bacaannya kecuali tangisan.'' Rasulullah tetap menyuruh Aisyah sebagaiimana kata-katanya sebelum ini iaitu menyuruh Abu Bakar solat bersama-sama umat Islam.

Maka, solatlah Abu Bakar mengimami umat Islam sebanyak 12 waktu bermula daripada waktu Isyak malam Jumaat sehingga akhir Subuh hari Isnin. Tiba-tiba Rasulullah menyelak langsir biliknya sambil tersenyum memandang kepada mereka yang sedang berbaris untuk menunaikan solat Subuh. Kemudian Abu Bakar mengundur ke belakang kerana ingin memberikan tempat kepada Rasulullah kerana beliau menyangka Rasulullah sudah kembali sihat.

Namun, Rasulullah terus memberikan isyarat dengan tangannya kepada Abu Bakar supaya mereka tetap meneruskan solat. Kemudian Rasulullah duduk di samping Abu Bakar lalu Abu Bakar solat mengikut solat Rasulullah yang dilakukan dengan berkeadaan duduk, sementara mereka yang lain mengikut solat Abu Bakar.

Umat Islam merasa gembira kerana mereka menyangka dengan keluarnya Rasulullah itu bermakna Baginda sudah kembali sihat. Tetapi sebenarnya, sakitnya bertambah teruk ketika itu. Itulah kali terakhir Rasulullah menunaikan solat bersama-sama umat islam. Kemudian Rasulullah menutup kembali langsir biliknya dan itulah juga pandangan terakhir Rasulullah kepada para sahabatnya dan umat Islam sebagai membuktikan bahawa Rasulullah sangat sayang kepada sahabat serta umat Baginda.

Rasulullah kembali ke bilik Aisyah, lalu berbaring menyandarkan kepalanya ke dada Aisyah untuk menghadapi sakaratul maut. Tatkala Rasulullah di atas pangkuan Aisyah, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk seraya memberi salam. Aisyah pun pergi ke muka pintu dan bertanya, ''Apa hajat tuan datang ke sini?'' Lalu tetamu itu menjawab, ''Aku ingin menemui Rasulullah.'' Aisyah menyatakan bahawa Baginda sedang sibuk dengan dirinya sendiri, bermaksud Baginda sedang berperang dengan kesakitan. Lalu Aisyah mengatakan, ''Pulanglah.'' Orang tadi memberi salam untuk kali keduanya. Namun begitu jugalah jawapan yang diberikan oleh Aisyah dan apabila kali ketiga memberi salam, Baginda terdengar suara itu dan terlintas di hatinya bahawa Baginda amat kenal dengan suara itu. Lalu Baginda mengatakan kepada Aisyah, ''Suruh orang itu masuk.'' dan Baginda berkata kepada Aisyah. ''Kamu kenal siapa dia?'' Aisyah menjawab, ''Tidak.'' Kata Baginda ''Dialah pemutus kesenangan dunia, dialah pemisah orang yang disayangi, dialah Izrail, Malaikat Maut.''

Baginda bertanyakan kepada Izrail apa tujuan kedatangannya, lalu Izrail berkata, ''Allah perintahkan aku mencabut nyawamu tetapi sekiranya  diizinkan olehmu Ya Rasulullah, jika tidak Allah mengarahkanku kembali.'' Nabi bertanya, ''Di mana kau tinggalkan sahabatku Jibrail?'' Malaikat Izrail menjawab, ''Aku tinggalkan dia di langit dunia.'' Jawab Izrail. ''Kenapa?'' Tanya Baginda. ''Dia tidak sanggup melihatmu menghadapai sakaratulmaut.'' ''Panggillah dia.'' Pinta Baginda. Sejurus daripada itu, Malaikat Jibrail pun turun berada di sisi Rasulullah. Baginda bertanya kepada Jibrail, ''Wahai kekasihku, kenapa kau lambat datang menziarahiku?'' Bercucuran air mata Jibrail tanpa sebarang suara kerana menahan sebak melihat kekasihnya Rasulullah berada di dalam kesakitan. 

Izrail pun meminta keizinan Baginda untuk menjalankan tugasnya, lalu Baginda berkata, ''Lakukanlah.'' Apabila roh ditarik dari ubun-ubun, Baginda mengerang kesakitan sambil berkata, ''Wahai Izrail,sakitnya mati ini.'' Mengalir air mata Izrail seraya menjawab. ''Tidak pernah aku mencabut roh seseorang selembut ini melainkan kepadamu ya Rasulullah.''

Rasulullah mengadu kesakitan, berpeluh dahi Baginda menahan kesakitan sakaratul maut. ''Wahai kekasihku Jibrail, sakitnya mati ini, bagaimana umatku mampu menanggungnya.'' Malaikat Jibrail tidak mampu berkata-kata, hanya air mata yang mengalir. Baginda berkata, ''Wahai Jibrail, kenapa kamu tidak menjawab dan kenapa kamu berpaling, adakah kerana kamu benci melihat wajahku?'' Barulah Jibrail bersuara, ''Wahai kekasihku, sebenarnya aku tidak sanggup melihat kau dalam keadaan begini,'' Jibrail menangis semahunya. ''Wahai Jibrail, sakitnya mati ini. Bagaimana umatku mampu menanggungnya. Wahai Jibrail, kumpulkan sakit mati seluruh umatku biar aku yang tanggung sekarang ini,'' Begitu Rasulullah sayang kepada umatnya dan bimbang umatnya tidak mampu menahan sakitnya mati, namun permintaan Baginda tidak diperkenankan oleh Allah. 

Baginda membuat permintaan kepada Jibrail, ''Wahai Jibrail, berilah berita gembira kepadaku sebelum aku meninggalkan dunia ini.'' Malaikat Jibrail mengatakan kepada Rasulullah, ''Bahawa seluruh pintu-pintu syurga dibuka dan para bidadari sedang berhias-hias menanti rohmu.'' ''Wahai Jibrail, aku masih tidak gembira, berilah berita gembira kepadaku sebelum aku meninggalkan dunia yang fana ini.'' Jibrail berkata, ''Sesungguhnya seluruh para malaikat sedang berbaris di langit dunia menantikan rohmu di angkat.''

Rasulullah mengulangi katanya lagi, ''Wahai Jibrail, ianya masih tidak menggembirakan aku. Ya Jibrail! berilah berita gembira kepadaku.''  Malaikat Jibrail pun menyatakan, ''Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah memberi jaminan bahawa tidak akan masuk syurga umat-umat lain melainkan umatmu dahulu memasukinya.'' Tersenyum Rasulullah mendengarnya, ini membuktikan cintanya yang mendalam terhadap umatnya dan akhirnya Rasulullah pergi menemui Allah dengan tenang. Baginda wafat dengan meninggalkan sembilan isteri iaitu Saudah, Aisyah, Hafsah, Ummu Habibah, Zainab binti Jahsy, Juwairiah, Safiah dan Maimunah.


P/s: tersentuh baca kisah di saat Kekasih Allah iaitu Nabi junjungan kita menghadapi sakaratul maut, betapa sayangnya Baginda terhadap kita. Betapa kasihnya Baginda terhadap kita. Kenapa masih ada yang mengutuk? mencaci? menghina Rasulullah? Sedangkan Baginda terlalu sayangkan kita :( Ambillah iktibar dari kisah ini dan sematkan di dalam hati masing-masing bahawa kita harus mencintai Rasulullah....

Allah berfirman di dalam Surah an-Nisa' ayat 80

                                ''Barang siapa yang mentaati rasul maka dia telah mentaati Allah...''

Wallahualam. Petikan ini diambil dari buku bertajuk ''Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam'' karya Rusydi Ramli Al-Jauhari






2 komen:

Hakimy Zamri said...

SELAWAT KE ATAS NABI S.A.W !!!

boni kacak said...

hurm...aku pun sebak baca kisah ni... betapa Rasulullah menyayangi umatnya..betapa beliau menyayangi kita.. sampaikan disuruhnya malaikat mengumpulkan seluruh kesakitan ajal umatnya dan diberikan kepadanya... dan, beliau benar2 mengasihi kita sampaikan saat ajalnya pun dia nakkan umatnya diberi keutamaan untuk masuk syurga.....